Monday 11 November 2019

MODEL TIP

           Pembangunan pesat dalam teknologi pada abad ke-21 telah mendedahkan generasi kini kepada inovasi-inovasi baru dalam teknologi. Perubahan ketara dalam sistem teknologi maklumat seperti perkembangan masyarakat, telah memberikan kesan yang besar terhadap pendidikan. Teknologi memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan dalam aktiviti-aktiviti pentadbiran dan proses PdPc.
        Whitehead, Jensen & Boschee (2003) menyatakan bahawa terdapat beberapa cabaran besar dalam pengalaman mengintegrasikan teknologi dalam pendidikan sesebuah institusi. Terdapat segelintir individu meragui keupayaan pengintegrasian teknologi dalam pendidikan dapat mencapai matlamat sesebuah institusi. Bagi memastikan keberkesanan teknologi dalam memberi arahan atau dalam proses pendidikan, pelaksanaan serta penggunaan sesuatu kaedah haruslah dilakukan dengan teliti dan tertib seperti yang dirancang.
      Penggunaan teknologi dalam pendidikan melalui pengintegrasiannya dapat meningkatkan penulisan murid dan juga meningkatkan pembelajaran koperatif. Selain dapat meningkatkan integrasi kurikulum, ianya juga dapat membantu dalam kepelbagaian strategi gaya pembelajaran, serta meningkatkan hubungan masyarakat, seterusnya meningkatkan pembelajaran secara global seperti yang dinyatakan dalam kajian Whitehead et al. (2003).


Rajah 1: Model TIP oleh Roblyer 2006
               
       Penggunaan model Perancangan Integrasi Teknologi (TIP) sebagai panduan di mana guru menilai dirinya sendiri dan memperoleh pemahaman yang mendalam mengenai populasi pelajar dan tahap pembelajaran mereka. Model TIP oleh Roblyer (2006) dalam rajah 1 merupakan satu alat yang digunakan sebagai panduan untuk guru merancang pengintegrasian teknologi dalam pdpc. Terdapat 5 fasa penting dalam memastikan keberkesanan penggunaan TIP.
         Fasa 1, guru perlu mengenalpasti kelebihan relatif serta jelas akan masalah pembelajaran yang perlu diselesaikan dengan teknologi komputer berdasarkan beberapa aras iaitu teknologi, perwakilan dan pemilihan perwakilan maklumat.  Pada aras teknologi, guru perlu mengenalpasti ciri sesuatu teknologi berbanding teknologi yang lain. Di aras perwakilan pula, guru perlu mengenalpasti bentuk perwakilan maklumat sama ada dalam bentuk teks, grafik, animasi, audio dan video. Aras terakhir guru perlu memilih perwakilan maklumat yang sesuai dengan keupayaan manusia memproses maklumat.
         Fasa 2, guru perlu menentukan objektif pengajaran dengan berpandukan kepada huraian sukatan pelajaran dan ianya mestilah boleh dinilai dan diukur. Terdapat 3 aspek yang perlu diukur iaitu tingkahlaku, aras kemahiran dan kandungan. Kaedah pengukuran yang boleh digunakan adalah ujian bertulis, senarai semak dan soal selidik skala likert.
       Fasa 3 pula, guru perlu merekabentuk strategi pengintegrasian. Strategi yang dipilih mestilah berpandukan kepada masalah pembelajaran yang telah dikenalpasti serta teknologi yang akan digunakan bagi menyokong menyelesaikan masalah berkenaan. Pemilihan strategi akan mempengaruhi jenis teknologi yang digunakan.
       Fasa 4, guru perlu menyediakan persekitaran yang mempunyai kemudahan peralatan dalam menyampaikan pdpc seperti perisian dan media yang mencukupi, masa penggunaan sumber, keperluan khas pelajar, serta perancangan penggunaan teknologi.
         Fasa 5, guru perlu menilai dan mengkaji semula strategi integrasi dapat membantu memperbaiki kesilapan dan kekurangan strategi yang digunakan. Terdapat 2 elemen penting dalam melakukan penilaian iaitu penilaian objektif pembelajaran yang mana boleh disemak melalui kuiz atau pembentangan. Elemen kedua merupakan penilaian daripada murid.
           
RUJUKAN

John, S. P. (2015). The integration of information technology in higher education: A study of
            faculty's attitude towards IT adoption in the teaching process. Diperoleh pada 3
            November 2019 daripada

Whitehead, M. Jensen, B., N. Boschee, D. F., & Floyd. (2002). Planning for
            Technology: A Guide for School Administrators, Technology Coordinators, and
            Curriculum Leaders. Diperoleh pada 3 November daripada
            https://eric.ed.gov/?id=ED477455.